Dari Belakang Masjid

 

 

 

 

 

by Syafiq Mazlan

MAGHRIB hari itu deras pergi dari siang – memberi laluan kepada malam tampakkan dirinya. Purnama yang kejap suluh kejap rajuk nurnya tinggi di dinding langit. Pungguk yang merindukan bulan terus tenggek bersahutan, penuh pengharapan. Berpayung langit kelam, seantero manusia masih ligat macam gasing dengan urusan kendiri yang entah sudah masuk ke pusingan ke berapa dan entah bila timpas pusingnya.

Source: http://www.flickr.com/photos/56924672@N00/1363497/

Di bawah langit yang sama, lima remaja sekawan galak bergebang. Segala isu alam sekeliling jadi bahan kata. Riuh suara mereka, namun masih terkawal. Takut-takut juga kalau-kalau kedengaran hingga ke ruang hadapan masjid. Takut-takut juga jika jemaah yang lebih dewasa atau tua kurang senang dengan tingkah mereka. Ya, mereka sedar perbuatan melepak di belakang masjid mengundang puluhan persepsi.

Keriut pagar kecil berkarat terpa mengilukan telinga lima bocah itu. Mereka yang tadi rancak berdiskusi rapat mulut terdiam. Serentak pancapasang mata itu menangkap kering bentuk tubuh Syaz yang baru melewati pagar kecil belakang masjid itu. Jeda yang diselingkan dalam diskusi tadi ghaib – perbualan disambung.

“Dari?”

“Depan masjid.”

“Ada apa di sana?”

“Orang-orang tua berbual – seperti kita di sini.”

“Mauduk?”

“Hanya Allah yang lebih mengetahui.”

Allah Maha Mengetahui dan Allah tahu apa yang sudah, bakal dan akan digebangkan oleh mereka. Samalah juga dengan segala bicara dan bunyi merdu sumbang dari perkumpulan orang-orang tua berbual di hadapan masjid. Maka, menjaga laras dan lantang bahasa perbuatan terbaik ketika bergebang.

Belum seminit hadir Syaz, dia diasak belasan soalan. Nije, J-Mie, Fahmi, Maba dan Aliq cukup cakna kalau-kalau orang-orang tua dari hadapan masjid mengesyaki diri mereka berkelakuan tidak senonoh. Dalam kesedaran itu, mereka juga sedar yang itulah fitrah majoriti manusia – bersuara sebelum berfikir.

“Depa ada cakap apa-apa tentang kita?”

“Tentang kita?” Syaz menampakkan kebingungannya.

Soalan Nije ternyata kedengaran janggal. Hanya Nije yang faham, barangkali. J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz menantikan penjelasan. Nije cuba mencari perkataan terbaik – supaya teman-temannya itu faham persoalannya.

“Maksud persoalanku, tidakkah depa sedang bersembang perihal kita. Sekadar ingin tahu. Lagipun, baru-baru ini aku terdengar khabar angin yang kurang enak.”

“Tentang?” J-Mie mencelah, kurang sabar.

“ Tentang kita yang sering mampir duduk-duduk di sini – di belakang masjid ini usai solat Maghrib.”

*   *   *

KANOPI tak berdinding itu disokong empat tiang di setiap empat penjurunya. Tegak kanopi berbumbung piramid itu jadi tempat jemaah-jemaah masjid yang lebih veteran singgah sementara menanti Isyak tampil. Tempat berdirinya kanopi itu tidaklah sampai sa puluh meter dari ruang parkiran masjid dan letaknya betul-betul di hadapan paksina masjid lama itu. Strategik.

Orang-orang tua yang lain melabuhkan punggung masing-masing di atas kerusi yang memang sudah tersedia lebih daripada cukup buat mereka. Masing-masing sudah tidak sabar nak bersembang dan bergebang. Entah cerita dongeng atau benar, fakta atau mitos mereka tidak ambil peduli. Ada isi, adalah ceritanya – kemudian meleretlah sehingga keluar topik pun masih kedengaran rancak.

“Hangpa perasan tak budak-budak muda yang selalu buang masa di belakang masjid itu?”

Mauduk dikeluarkan entah dari mana puncanya. Sahihnya, dari dalam kalangan mereka juga. Orang-orang tua di situ pun mula menyusun kata – yang bakal tersusun dan berterabur, siapa kisah? Dalam kelabu asap rokok cap Gudang Garam, Dunhill, Pall Mall, Winston dan entah apa lagi jenamanya, mereka laju terjun ke persepsi sendiri.

“Tau sangat. Kumpulan J-Mie tu kan?”

“Yalah tu. Depa la. Entah apa yang seronok sangat di belakang tu…”

“Budak-budak muda memang begitu. Entah apa yang depa buat..”

Source: http://www.flickr.com/photos/karategrafika/5343327068/

Berbagai-bagai tayangan imaginasi masing-masing terpancar di kain layar minda dewasa dan tua mereka. Baik dan buruk sangka bergaul tapi ternyata yang itam mendominasi. Tergambar dalam pemikiran mereka wajah Aliq sedang merokok. Berlegar-legar bayangan Maba sedang berkongsi video-video lucah dengan teman-teman rapitnya. Tidak ada sekelonet pun kebaikan Fahmi dan kawan-kwannya yang cuba mampir di tanggapan golongan-golongan veteran itu. Deras sungguh sangka buruk jadi mangkin kontaminasi buah fikir.

*   *   *

SESEKALI tawa singgah di perbualan mereka. Sejenak mereka kembali serius. Macam-macam kisah yang disembangkan oleh Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz. Bicara mereka daripada semini perkara hingga ke isu terbesar global. Juga dari bahan terjijik hingga usul yang paling mulia. Masing-masing membuat luahan hati dan pandangan sendiri. Segala dialog dan monolog didengar sebaik mungkin.

“Hujung minggu ini ada kenduri.”

“Jadi?”

“Macam biasa – tuan rumah perlukan tenaga muda.”

“Malas…”

“Bukan percuma.”

“Aku terima!”

Sesekali gelagat teman-teman mencuit kirmizi hati kecil, meletuskan tawa spontan. Kadang masalah dikongsi, kadang ilmu disampaikan sesama mereka – di belakang masjid itu. Cuma kondisi suram yang hanya bersuluh lampu kalimantang segan nyala itu yang buat mereka enam sekawan nampak macam Enam Jahanam karya Allahyarham P. Ramlee. Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz tidak peduli langsung semua itu.

“Tau pasal perang?”

“Perang akan tamat..”

“Siapa bilang?”

“Si pemimpi yang berjarak angannya – perang akan tamat.”

“Itu perang fizikal. Perang minda? Mentaliti? Propaganda dan doktrin?”

“Terlalu khusus…”

“Masih diistilahkan sebagai perang dan yang termustahak, perang dengan nafsu dan iblis.”

“Terlalu spesifik…”

Wajah mereka berenam bertukar corak, selari dengan emosi dan penceritaan. Kadang rupa intelegensia, muka dungu atau raut obses jadi lukisan wajah. Kadang rupa suka, muka melankolik atau raut katarsis jadi ukiran di dahi, mata dan bibir. Mereka akan terus begini – metamorfosis emosi dan bertukar cetera usai Maghrib sampai bang Isyak pecahkan sunyi malam muda. Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz akan terus ketawa dan serius dalam keadaan terkawal, khuatir fitnah bermaharajalela.

*   *   *

ORANG-orang tua juga tidak kurang rancaknya di perkumpulan mereka. Cuma buah fikiran yang dilontar agak berbeza. Judul cetera silih berganti, tidak malar. Kalau bincang tentang politik, pasti cerita tentang parti kepimpinan. Kalau cerita bincang tentang agama, pasti sembang tentang isu bidaah dan lain-lain. Kalau bincang tentang anak muda, pasti cepat serkap jarang.

“Budak muda suka berfoya-foya!”

“Budak muda lupa diri, lupa bangsa dan agama!”

“Budak muda giankan hiburan!”

“Kumpulan J-Mie di belakang masjid itu – entah apa yang dibuat mereka…”

“Kita kena sergap mereka!”

Tanpa mengkaji. Ya, tanpa menyelidik mereka melompat ke konklusi! Begitu cepat latah serkap jarang merasuk sukma veteran mereka. Memang golongan muda mudah terpengaruh. Memang golongan muda majoriti di paparan graf punca masalah. Namun, itu bukan alasan primer yang terbaik untuk mencipta dacing pengadilan sendiri. Masih bersisa golongan remaja yang sifar lantur dalam jalannya.

“Kita serbu, kita cekup!”

Belum pun sirna asap rokok dari bawah teduhan kanopi itu, separuh daripada ahli borak telah ghaib ke belakang masjid – dengan sangkaan sendiri.

*   *   *

Source: http://www.flickr.com/photos/lenscapbob/6488785523/

MABA diam. Ketara dia kelihatan sedang menyusun aksara untuk dilontarkan. Perasan dengan perlakuan Maba, semua pasang mata tepat tertumpu menanti gerak teman mereka itu.

“Fitnah itu dosanya lebih teruk daripada membunuh,” Maba memulakan.

“Jadi?”

“Bagaimana? Kenapa?”

“Fitnah itu zalim – lebih membunuh daripada pembunuhan. Malah menyeksa

sebelum mematikan. Boleh buat kita remuk rengsa.”

“Membunuh hanya perbuatan yang memisahkan nyawa dari jasad makhluk. Memfitnah pula jauh lebih zalim. Fitnah ranapkan nilai kekeluargaan, membunuh kepercayaan. Fitnah punya sakti yang boleh buat kita hilang kerja, hilang punca dan hilang arah.”

“Lebih sakit daripada larinya roh dari anggota. Fitnah mengerikan.”

“Tapi itu bukan alasan kita boleh membunuh. Bukankah urusan roh itu hal Ilahi?”

Benar, jangan gara-gara kerana fitnah itu lebih hebat kesannya daripada membunuh, kita memilih untuk membunuh. Perkongsian yang menarik dan nampak kemaslahatannya. Sekurang-kurangnya Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz belajar bahan baharu pada malam muda itu.

“Hoi!”

Enam sekawan itu tersentak. Jerkah orang-orang tua itu buat mereka sekawan jadi bingung sejenak. Semua pasang mata enam sekawan itu pantas terpa ke arah sekumpulan pakcik- pakcik yang kelihatan menyinga itu – sederas kumpulan pakcik-pakcik itu meluru ke arah mereka. Hairan, bingung dan ingin tahu berganti-ganti tak berkesudahan mengisi kekosongan akal fikir. Terlalu drastik untuk Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz untuk mudah menerjemahkan maksud kedatangan golongan veteran dari ruang hadapan masjid itu.

“Hangpa buat apa kat sini?”

Laju  Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz ditujah soalan demi soalan yang semestinya buat mereka nampak bak si tertuduh dalam kandangnya di mahkamah. Cuma mahkamah belakang masjid ini agak pincang – tanpa peluang untuk defendan membela diri. Plaintif yang mendominasi dan hakim tak bertauliah diberi kuasa pabila neraca sendiri direka. Anak-anak muda itu hanya mampu terkulat-kulat membiarkan dentum artileri tohmahan lepasi gegendang telinga masing-masing.

“Hangpa buat apa kat sini?”

“Kami…”

“Merokok?”

“Hisap dadah?”

“Tengok video satu warna?”

“Tak. Kami…”

“Ah, jangan menjawab cakap orang-orang tua!”

Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz terus menelan segala lontar tuduhan. Kembung telinga kiri diisi, telinga kanan ambil posisi. Ingin saja mereka membalas tapi takut dilabel biadap, takut dikatakan tak ada adab. Ya, orang tak beradab selayaknya dipanggil biadap. Terus berdiam diri adalah jalan terbaik. Malah, hanya itu sahaja jalan yang ada.

“Awat hangpa selalu duduk kat sini?”

“Buat maksiat?”

“Memalukan…”

Segala bising termati pabila bang bergema di langit malam. Bang dilaungkan muazin kuat dijerit oleh pembesar suara dari atas menara masjid. Mendengar bang berlagu di atmosfera malam itu bagi katarsis kepada Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz. Orang-orang tua yang belum puas menyinga tadi pun dah mula ansur beredar.

“Syukur…”

“Bukan salah kita.”

“Biarkanlah depa. Allah Maha Mengetahui.”

Nije, J-Mie, Fahmi, Maba, Aliq dan Syaz angkat punggung masing-masing dari duduk yang agak lama dan memacu kaki masing-masing menggerak tubuh ke ruang berwuduk. Ada tugas wajib yang menanti – solat Isyak. Bagi mereka, lebih mustahak daripada terlalu ambil hati dengan serangan husar salah sangka sebentar tadi. Mustahil untuk mudah meyakinkan golongan-golongan sebegitu. Benar, muhal!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: