1001 Merdeka

oleh: Shafiq Mazlan

31 Ogos; lagi – penta-puluh lima selepas 1957. Masih akan macam dulu-dulu juga, kecil sayup-sayup sahaja sukma remajaku berbisik. Dalam kesibukan melayan usia mengenal dewasa, mana mungkin aku dapat nafikan suara hati sendiri. Aku bukan lagi kanak-kanak berhingus yang masih makan bersuap; macam dulu-dulu – tak perlu fikir masalah keluarga, masalah negara, masalah parti, masalah kewangan dan entah apa lagi masalah. Sekarang usia untuk aku berfikir. Tapi jujur, aku masih rindu usia berhingus makan bersuap – usia kita mulia daripada makan suap.

“Shafiq, blog The Malaysian Outsiders mengalu-alukan sebarang karya-karya berlatarkan kemerdekaan.”

Ah, realiti datang lagi! Betapa aku cuba lari dari ia seketika. Sepatah harapan pengusaha blog The Malaysian Outsiders mampir di ruang mini pesanan peribadi halaman laman sosial Facebook idea Mark Zukechbergh – tarik aku daripada terus melayan angan; pembetulan: bukan ANGAN, tapi IMPIAN. Sedikit berfikir sebelum membalas.

“Insya-Allah…”

Dengan izin Allah, ya ataupun tidak. Kita berusaha, Tuhan yang mengizinkan. Jangan bodoh sombong mengaku semuanya kita mampu, semuanya kita peroleh – hinggakan orang sendiri kita anjingkan. Aku menulis, jika Allah izinkan. Mereka faham atau tidak, bukan salah mereka. Tapi kalau buta-buta menafikan tanpa menafsir, itu salah mereka. Mereka diizinkan bertanya. Manusia biasa macam aku, kau dan mereka boleh jadi lebih adil atau lebih bias daripada mahkamah. Tanyalah.

*   *   *

Source: http://www.flickr.com/photos/red406/38894211/

MERDEKA, merdeka, merdeka…

Esok bukan merdeka. Merdeka di dekad-dekad lampau. Esok sambutan bersempena merdeka di dekad-dekad lampau. Kita hanya menyambut kemerdekaan; ya, kita merdeka daripada penjajah – tapi bukan daripada dijajah. Tipikal sangat kalau mahu cerita pasal kita masih rosak dalam hedonisme tapi itu realiti.

“Abah, malam ini kita pergi tengok bunga api tak?”

Setiap 30 Ogos, malamnya abah akan bawa aku sekeluarga ke Padang Kota Lama. Waktu itu aku budak hingusan makan bersuap. Abah bawa kami(mak, aku dan adik)  ke sana bukan kerana dia nak tengok bunga api; tapi kerana kami. Abah kuli kilang, selalu kerja lebih masa. Mungkin merdeka ini memerdekakan abah daripada kesibukan seketika, untuk keluarga.

Sampai di Padang Kota Lama, kami melilau bersama manusia-manusia merdeka yang mungkin mahu juga melihat bunga api malam 31 Ogos. Abah akan belikan air bila kami mula haus. Mungkin juga aiskrim. 12 malam, lelatu menghiasi langit. Usia itu, mungkin merdeka pada aku cumalah bunga api di langit tengah malam.

“Abah, merdeka itu apa sebenarnya?”

Abah bukanlah orang yang hebat menunjukkan apa itu merdeka, tapi dia orang terhebat untuk menerangkan apakah itu merdeka kepada aku. Abah akan cerita apa itu merdeka, kenapa merdeka, apa yang berlaku sebelum dan selepas merdeka dan macam-macam lagi. Itu pun, aku cuma faham yang kita ini merdeka kerana penjajah telah balik ke negara mereka masing-masing.

Masuk sekolah, aku belajar yang merdeka bukan hanya tentang  itu semata-mata. Merdeka(sepatutnya) lebih luas; merdeka daripada apa dan siapa. Secara harfiahnya, kita semua merdeka daripada penjajah. Untuk apa? Untuk merempit di malam hari, berfoya-foya di kelab-kelab malam, makan bersuap walaupun dah tua kerepot dan entah apa lagi korupsi manusia negara merdeka ini.

“Tipikal. Aku dah jemu baca tentang kita tak merdeka kerana hal-hal itu.”

Ya, aku pun jemu! Itu aku di usia menengah rendah. Zaman di menengah atas sampailah aku lapan belas ini, merdeka aku lain pula pegangannya.

*   *   *

MERDEKA, merdeka, merdeka…

Eh, esok merdeka; lagi?! Hutang rumah belum habis. Hutang pinjaman pelajaran belum selesai. Hutang kereta, motosikal, basikal anak belum langsai. Hutang ceti(jika ada) tak timpas berbayar. Merdekalah hanya di kalendar dan langit malam berbunga api. Juga di skrin televisyen dan monitor komputer. Lambat lagilah nak merdeka kalau inilah ukuran merdeka.

Eh, abah belum merdekalah kalau begini? Tapi aku tengok semua orang macam dah betul-betul merdeka. Abahkah yang ketinggalan? Abah sahajakah yang tak ada masa lapang untuk terlibat dalam gaduh-gaduh politik? Ya, abah tak merdeka sampai aku buat dia duduk rumah goyang kaki selepas puluh-puluh tahun bekerja.

*   *   *

“Apa yang patut aku tulis…”

Kita hidup dalam kemerdekaan yang dijuangkan oleh mereka yang telah mati tanpa sempat merasa apa yang mereka juangkan. Dalam belek buku-buku dan laman sesawang, aku tak jumpa adakah perjuangan mereka yang telah mati ini adalah supaya kita boleh memunggung gambar pemimpim? Atau supaya satu bangsa bergaduh kerana beza parti politik? Atau supaya rakyat Malaysia ada dwi-kategori?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: