Bukan Dyana Jawapannya untuk Memenangi Hati Pengundi Muda Melayu (Versi Bahasa)

Screen Shot 2014-06-04 at 1.16.53 AM

Strategi terbaru DAP untuk meletakkan calon muda berbangsa Melayu; Dyana Mohd Daud dalam pilihanraya kecil baru-baru ini telah membuka semula persoalaan berkenaan perubahan corak politik baharu. Perkembangan ini tidak kurang menariknya memandangkan Dyana sendiri merupakan seorang produk keluaran UiTM-sebuah universiti eksklusif untuk warga Bumiputera-selain daripada penglibatan keluarganya dalam UMNO. Ramai yang beranggapan bahawa langkah berani ini diambil DAP sebagai tanda perubahan politiknya yang sering dikaitkan dengan kaum Cina. Walaupun tindakan terbaru Dyana ini dikatakan sebagai petanda penolakan UMNO oleh golongan muda Melayu, tidak kurang juga yang beranggapan bahawa langkah ini hanyalah satu gimik politik.

Kekecewaan rakyat terhadap kelemahan pentadbiran Barisan Nasional bukan sahaja telah memecah corak pengundian dalam dua edisi Pilihanraya Umum yang lepas, bahkan membuktikan bahawa rakyat kini boleh mengundi melangkaui batas perkauman. Akan tetapi, asas kepada penyatuan berdasarkan kaum itu sendiri diragui sebagai faktor utama kepada kekalahan Barisan Nasional yang kebiasaannya lebih tertumpu kepada kelemahan tadbir, korupsi, dan kekecewaan rakyat semata-mata.

DAP mungkin bangga akan pencapaiannya dalam meletakkan calon Melayu untuk bertanding sebagai satu tanda akan prinsipnya kepada kesaksamaan, keadilan dan demokrasi. Walaupun DAP tidak mengamalkan konsep berdasarkan kaum seperti yang diamalkan parti-parti komponen Barisan Nasional, DAP itu sendiri bukanlah sebuah parti yang melambangkan kepelbagaian rakyat Malaysia. Ketidaksamarataan ini jelas terpancar apabila barisan kepimpinan dan pucuk sokongan DAP seringkali tercabar dan dicabar dalam prinsip and solusi parti berkenaan perkara-perkara yang sensitif untuk dibincangkan secara terbuka seperti hal ehwal Islam, kedudukan orang Melayu, ketidaksamarataan pendidikan serta jurang perbezaan dalam dan luar bandar.

Dalam usaha merapatkan jurang antara golongan Melayu muda dengan kefahaman politik sama rata antara kaum, perkara ini melibatkan perkara yang jauh melangkaui pemilihan seorang Melayu sebagai wakil politik DAP. Golongan muda Melayu mahukan rangka politik alternatif yang mampu menangkis ‘kehilangan’ yang senantiasa dimomok-momokkan golongan veteren. Pihak pembangkang haruslah membuktikan kemampuannya dalam mewujudkan Malaysia yang adil dan saksama tanpa mengira kaum, dan hasrat ini bukanlah hanya semata-mata untuk menjatuhkan Barisan Nasional tetapi untuk kebaikan sejagat.

Jikalau PKR & DAP masing-masing bertanding atas prinsip yang didukung bersama, golongan muda Melayu sudah semestinya memegang harapan untuk kedua-duanya bergabung dibawah satu entiti untuk menggapai impian kemakmuran bersama. Politikus harus menangkis anggapan serong masyarakat bahawa peranan DAP hanyalah sebagai benteng dan pedang golongan Cina untuk menentang Barisan Nasional, dan PKR itu fungsinya adalah untuk memenuhi impian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Asasnya, kewujudan satu entiti yang bersatu akan membantu pihak pembangkang untuk menilai kembali asas-asas perjuangan kearah bangsa Malaysia yang bersatu, dan pertarungan politik ini bukanlah semata-mata untuk merealisasikan harapan ke Putrajaya. Tanpa wujudnya asas politik yang kukuh, tidak mudah untuk golongan muda Melayu untuk menaruh kepercayaan kepada perjuangan serba goyah ini.

Tanggungjawab parti politik seperti DAP tidaklah terhad sekadar meletakkan calon berbangsa Melayu. Apa yang lebih penting adalah untuk meyakinkan golongan Melayu yang kini berbelah-bahagi sama ada peluang dan bantuan akan diberikan secara saksama dengan mengambil kira konteks keadilan dalam kemasyarakatan; sama ada hak itu berkaitan dengan pendidikan, peluang pekerjaan, kemampuan ekonomi, dan tidak lupa juga toleransi antara agama. Persoalan yang lebih besar adalah apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan kesamarataan itu sendiri? Adakah kesamarataan itu berpaksikan kesaksamaan secara ekuiti ataupun merit setulusnya? Perkara ini harus dipanjangkan untuk dibincangkan secara mendalam,

Ya, langkah untuk membendung korupsi tidak boleh dianak-tirikan, namun apa yang lebih penting bagi parti pembangkang adalah untuk membuktikan cara yang lebih baik untuk menangkis gejala rasuah seperti yang dikatakan berlaku secara meluas dalam penguatkuasaan undang-undang dan sistem kehakiman di peringkat nasional. Golongan muda Melayu sudah muak dengan cakap-cakap kosong dan inilah masanya untuk pihak pembangkang membuktikan komitmen untuk mengotakan janji, terutamanya dalam hal-ehwal produktifiti, peluang pekerjaan dan kualiti hidup bagi golongan muda. Inilah masanya untuk parti pembangkang memenuhi harapan golongan muda dengan solusi yang berkesan, bukan dengan hanya mengharapkan ketidaktelusan pihak kerajaan sebagai peluru kepada hujah-hujah politik.

Hanya dengan kolaborasi kukuh antara golongan Melayu-Muslim progresif dan bukan-Melayu dibawah satu bumbung dapat kita menjalin persefahaman yang lebih jelas dalam satu-satu isu. DAP akan selamanya dianggap sebahai chauvinis dan rasis jika pemimpin teratas dan golongan akar umbinya tidak dapat memenuhi aspirasi penyatuan bangsa Malaysia dalam parti politiknya itu sendiri. Kelemahan ini jelas diambil kesempatan oleh kempen-kempen provokatif oleh kumpulan ‘far-right’ seperti ISMA & PERKASA untuk melemahkan gagasan penyatuan ini. 

Isu-isu sensitif yang memerlukan pemahaman mendalam dan perspektif mereka yang berpengatahuan adalah amat penting dalam memberi justifikasi kepada apa-apa keputusan politik, seperti penggunaan nama Allah untuk penganut bukan Islam dan implementasi hukum Hudud di Malaysia. Kelemahan Dyana dalam memberikan respons kritikan terhadap penolakan DAP berkenaan Hudud (selain daripada limitasi Perlembagaan) hanya menonjolkan kelemahan kepimpinan DAP dalam memberi penjelasan yang konstruktif kepada ahli-ahlinya.

Golongan muda Melayu tidak memerlukan calon Melayu untuk mempertahankan hak-hak berkenaan kualiti pendidikan, peluang pekerjaan, prinsip berperlembagaan, dan peluang ekonomi selagi hak-hak yang asas sedemikian terjamin oleh dasar perjuangan parti yang kukuh dan refklektif kepada keperluangan pelbagai segmen masyarakat.

Walau calon yang diletakkan DAP merupakan seorang Melayu, golongan Melayu muda yang anti-UMNO tidak semestinya akan berkenan dengan cara berpolitik DAP yang meletakkan orang Melayu yang terlibat dengan UMNO itu sendiri sebagai musuh. Cara yang lebih baik adalah untuk meletakkan polisi UMNO itu sendiri untuk dihentam secara kritis. DAP juga perlu bermuhasabah dalam usahanya untuk menarik golongan muda Melayu dengan lebih mengutamakan bahasa kebangsaan dalam aktiviti-aktiviti politiknya. Jikalau barisan kepimpinan DAP itu sendiri tidak melambangkan wajah Malaysia yang berpelbagaian, mana mungkin untuk mereka menyalahkan orang lain apabila diperkatakan sebagai parti yang lebih mengutamakan kepentingan satu-satu kaum.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: