Kekecewaan Harapan Rakyat di sebalik Kemelut Politik Pakatan (Versi Bahasa)

*Penulis tidak dapat menerima alasan keneutralan politik seseorang. Seorang rakyat yang prihatin tidak akan mengabaikan hak yang telah dipertanggungjawabkan oleh Perlembagaan Persekutuan sambil mengadu dan mengeluh akan situasi politik semasa. Walaupun hak untuk tidak memilih mana-mana pihak itu sendiri merupakan satu pengertian hak, penulis yakin bahawa pilihan yang aktif lebih mampu memberi impak meluas dalam asas bina negara. Walaupun begitu, penulis mengalu-alukan sebarang perbezaan pendapat daripiada para pembaca, seiring dengan hak yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis amat beruntung kerana dapat merasai pengalaman membesar dalam komuniti yang berbilang bangsa dan agama. Tidak ada yang lebih sesuai untuk menggambarkan sebuah ‘Wajah Malaysia’Melayu, Cina, India, Orang Asli, kacukan Eurasian, golongan Bumiputera, imigran generasi pertamakami semua berkongsi bumbung yang sama dalam kehidupan yang penuh harmoni dan toleransi. Tidak ada isu yang menimbulkan perpecahan timbul dalam kehidupan sehari-hari; keserasian sesama sendiri juga jelas terpancar dalam perbualan dwi-bahasa Melayu-Inggeris tanpa rasa kekok atau terasing. Perbezaan antara satu sama lain tidak dirasakan sebagai sesuatu yang janggal, sehinggakan perbezaan dengan rakan-rakan dirasakan sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

Begitulah hakikat kanak-kanak yang tidak pernah mengenali erti perbezaan dalam sebuah persahabatan majmuk. Walau bagaimanapun, sistem pendidikan menengah yang seakan-akan dasar “pecah dan perintah” telah memberi impak dalam corak persahabatan yang unik ini apabila rakan-rakan yang berbangsa Melayu/Bumiputera telah diasingkan secara sistematik ke Sekolah Berasrama Penuh, sedangkan yang lain-lainnya hanya mampu menyambung pelajaran ke sekolah harian berdekatan.

Tempoh pendidikan 9 tahun yang pertama ini telah banyak mencorak nilai-nilai peribadi diri penulis. Kesedaran akan kepentingan berintegrasi sesama kaum sebelum konsep mulia toleransi dan keharmonian dalam kehidupan majmuk di Malaysia semakin mendalam biarpun cabarannya semakin melintang. Malangnya, konsep ini semakan jauh daripada cara berkehidupan masyarakat Malaysia hari ini. Ketegangan isu-isu agama dan bangsa semakin menjadi-jadi, dan perkara ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila jumlah dalam kalangan kita yang berasa terasing daripada kemajmukan masyarakat Malaysia semakin bertambah di kebanyakan tempat. Masih ramai yang tidak dapat mengecapi keindahan hidup dalam komuniti berbilang bangsa secara menyeluruh, dan hal ini diburukkan lagi apabila media perdana seringkali memomokkan rakyat dengan kenyataan yang berunsurkan perkauman.

***

Kemenangan besar yang tidak dijangkakan oleh Pakatan Rakyat pasca-2008 telah memberikan harapan kepada golongan muda Malaysia yang mula memperjuangkan hak kebersamaan berdasarkan keadilan sosial. Konsep yang asing sebelumnya ini semakin kuat dilaungkan dalam usaha menentang penindasan secara halus; tidak kira apa bangsa atau agama sekalipun. Pengalaman peribadi diri penulis sendiri dijadikan pemangkin apabila semakin ramai kenalanku menjadi mangsa kepada ketidakadilan polisi, terutamanya dalam hal ehwal yang begitu rapat dengan aspirasi golongan mudapendidkan. Dalam masa golongan bukan Melayu (biar kaya mahupun miskin) bergelumang dengan hutang pendidikan untuk segulang ijazah, penulis hanya dapat memerhati mereka yang dapat melayakkan diri ke universiti atas dasar polisi berterusan hidup dalam kejahilan dengan sikap malas mereka.

Masalah yang melanda negara ini merupakan rentetan kecacatan polisi yang sudah berterusan lamanya. Bagai luka yang bernanah dalam tusukannya, cara terbaik untuk mengubati ‘luka’ ini adalah dengan cara alternatif yang dijangkakan membawa kesan yang lebih positif, sekurang-kurangnya secara teori.

Secara peribadi, penulis telah mengambil langkah untuk mengubati situasi yang menyedihkan dengan cara mempelajari undang-undang agar prinsip keadilan dan ‘rule of law’ dapat ditegakkan dengan tangan kasar sendiri sebagai seorang peguam. Walau sekotor mana permainan politik itu sendiri; baik bagi pihak kerajaan ataupun pembangkang, politik jugalah yang dapat menentukan hala tuju seterusnya bagi sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, kita tidak dapat lari daripada komitmen untuk idealisme yang dibawa Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Penulis memilih Pakatan Rakyat bukan kerana PKR, DAP, mahupun PAS. Bahkan, ramai daripada kalangan politikus mereka sendiri tidak kurang sikap hidung belangnya jika dibandingkan dengan yang lain. Pilihan ini telah dibuat berlandaskan ‘harapan’ untuk keadilan sosial dijadikan kiblat perjuangan masyarakat majmuk Malaysia.

Apalah ertinya untuk kita mencapai taraf negara maju menjelang 2020 dengan sasaran GDP yang tinggi menjulang sekiranya perkara-perkara asas masih terkelumat di sebalik kemajuan yang ada?

Biarpun perjuangan ini banyak cacat celanya, rakyat Malaysia secara amnya lebih tertarik akan kemungkinan yang lebih cerah masa depannya daripada kestabilan politik secara power sharing yang sedia ada.

Sejak dahulu lagi, Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah membayangkan kemakmuran ibu pertiwi kita apabila beliau mengingatkan kita semua dalam ucapannya:

“Kita mesti sentiasa memberi keutumaan kepada Malaysia, keutumaan nasional mesti didahulakan sebelum diri kita sendiri. Seluruh rakyat Malaysia mesti saling bantu-membantu dalam merealisasikan keserasian, dan kesetiaan dengan satu harapan untuk menjadikan Malaysia,tanah airku tercinta; sebagai tanah tumpah darahku. Hanya dengan cara ini kita akan dapat menjamin kebebasan, keselamatan, kemakmuran dan kegembiraan di masa hadapan.”

Malangnya, hal ehwal politik semasa Pakatan Rakyat amat mendukacitakan dalam memenuhi hasrat rakyat untuk melihat suatu perubahan.

Tidak bolehkah politkus mula mendahulukan perkara yang lebih penting untuk negara berbanding kepentingan diri sendiri?


Susah sangatkan untuk mereka mencapai kata sepakat dalam menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang?


Kenapa perlu kita membazirkan masa untuk memecah-belahkan sesama sendiri dalam berpolitik sedangkan masih banyak lagi yang perlu diambil berat?

Situasi ini seakan-akan telah merompak harapan rakyat dan kepercayaan kami dalam perjuangan untuk menjamin Malaysia yang lebih baik di masa hadapan. Keyakinan kami terhadap perjuangan Pakatan semakin dihiris oleh situasi yang goyah dan memalukan sejak belakangan ini.

Diharapkan dalam bulan-bulan yang akan datang, kepimpinan Pakatan dapat menyelesaikan kemelut politik yang melemaskan ini agar tindakan-tindakan yang diambil selari dengan harapan dan idealisme perjuangan rakyat sebagai satu alternatif kepada kepimpinan kerajaan yang sedia ada.

Masa depan generasi akan datang amat bergantung kepada keputusan seterusnya oleh kepimpinan Pakatan hari ini, dan adalah diharapkan agar mereka dapat bertindak dengan lebih bijak, bersih, dan cepat dalam merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi negara yang lebih bertoleransi dan harmoni dalam peluang pilihanraya yang akan datang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: