Di Sebalik Tabir #SayaZahra: Satu Kerapuhan Pemikiran Mahasiswa Tempatan

#SayaZahra.

Ungkapan tersebut semakin kuat bingitnya semenjak-dua ini.

Siapa yang boleh lupakan ucapan Zahra yang lantang menyuarakan kegusaran anak-anak muda tentang kenaikan kos sara hidup?

Memang tidak boleh dinafikan bahawa keadaan ekonomi semasa semakin dirasai oleh lepasan ijazah yang sentiasa mendahagakan lebihan rezeki untuk dibawa pulang. Penulis sendiri bersetuju dengan gusaran hati saudari Zahra, dan mungkin dengan sentimen itu jugalah rakaman luahan tersebut semakin meluas perbincangannya.

“Golongan muda tidak lagi hiraukan politik perkauman, tetapi persoalan ‘survival.”

Pemuda-pemudi Generasi Y mana yang tidak tertarik dengan ungkapan sedemikian?

Penulis sendiri terkejut memandangkan program yang mana Zahra berucap merupakan anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu.

“Biar betul, ini bukan sebarangan ucapan…tetapi lebih kepada desakan revolusi pemikiran Melayu untuk tidak lagi mendahulukan kaum, tetapi kesejahteraan ekonomi untuk semua!” bisik hati kecil penulis.

“Bukan main berani lagi Zahra melaungkan revolusi pemikiran di hadapan Timbalan Perdana Menteri sendiri!”

Retorik untuk Memperkasakan Dasar Ekonomi Melayu

Barangkali kebanyakan orang tidak memahami konteks sebenar ucapan yang dibuat Zahra. Di penghujung ucapannya, selepas menghela panjang kesusahan hidupnya yang tidak memiliki kereta sendiri & ketidakmampuan untuk membeli rumah di lokasi premier seperti di Ampang & Taman Melawati (yang boleh penulis katakan sebagai suatu harapan yang tidak realistik untuk lepasan ijazah tempatan lewat 20-an), ucapan Zahra tidak lebih daripada satu taktik halus Majlis Tindakan Ekonomi Melayu untuk mendesak polisi ekonomi yang lebih cenderung ke arah memperkasakan ekonomi kaum Melayu.

“Orang Melayu kini seperti pendatang di negara sendiri, terhimpit dek kesesakan ekonomi! Sampai bila lagi kita perlu merana sebegini?

Kalau benarlah ikhlas hati nurani Zahra dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu untuk melihat Generasi Y menangani kos hidup yang semakin meningkat, pada hemat penulis, adegan drama sebegini tidak perlulah dijulang tinggi memandangkan fokusnya hanyalah untuk ‘economic survival‘ satu kaum sahaja; Melayu.

Apakah yang mahu disampaikan dengan penggunaan ‘pendatang di negara sendiri’?

Siapa sebenarnya ‘pendatang‘ yang dimaksudkan; seolah-olah kaum bukan Melayu telah merampas semua peluang ekonomi yang ada di Malaysia?


Bukankah kemakmuran negara itu patut dikongsi bersama, tidak kira apa bangsa sekalipun?

Penulis bersimpati dengan kesusahan yang ditimpa Zahra, terutamanya selepas kemalangan yang menimpa kedua ibu-bapanya baru-baru ini.

Tetapi tidak sekali-kali penulis–dan sudah pastinya ramai lagi yang diluar sana–menyokong sentimen perkauman ekonomi yang dihalusi menerusi kesusahan hidup yang dibesar-besarkan untuk dijadikan sebagai satu alasan bagi pihak kerajaan untuk memanjakan lagi golongan Melayu muda.

Sepatutnya, peluang berucap di hadapan Timbalan Perdana Menteri tersebut seeloknya digunakan untuk mendesak polisi yang lebih adil dan telus, ‘need-based rather than race-oriented’, dan juga dapat menjamin ‘employability‘ graduan muda; biar Melayu, Cina, India, atau mana-mana rakyat Malaysia yang ingin menyumbang keringat untuk pihak kerajaan atau swasta.

Kesongsangan Integriti Pendidikan Tinggi Tempatan

Zahra mengeluh panjang perihal gajinya yang tidak mencukupi walaupun mempunyai segulung ijazah undang-undang. Katanya, hidup sebagai lepasan ijazah tidaklah seindah harapan beliau ketika masih di menara gading, lebih-lebih lagi apabila kos untuk mengambil ‘Professional Paper’ sebanyak RM 15,000 adalah diluar kemampuan hidup.

Sebagai seorang pelajar undang-undang tempatan, penulis sudah jenuh dengan isu yang tidak sepatutnya terjadi ini.

Tidak lain dan tidak bukan, Zahra merupakan lepasan Fakulti Undang-Undang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang mana ijazah undang-undangnya tidak diiktiraf Legal Practice Qualification Board.

Persoalannya, apakah tujuan adanya Fakulti Undang-Undang di UniSZA jikalau ‘minimum standard’ pun tidak dapat dipenuhi untuk ratusan lepasan ijazahnya?

Siapa yang perlu disalahkan jika graduan lepasan tempatan tidak dapat memenuhi syarat minima untuk layak bergelar sebagai seorang peguam, biarpun di negara sendiri?

Apakah fungsi sebuah universiti itu hanya sekadar untuk melahirkan sebanyak mana graduan yang boleh selagi mana ada ruang-ruang kosong di bangku menara gading?

Lebih menyedihkan, Zahra bukanlah satu-satunya lepasan ijazah yang tidak mempunyai kelayakan minimum sebaik habis pembelajaran undang-undang di universiti.  Bahkan, lepasan ijazah undang-undang di Management and Sciences University (MSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & Taylor’s University juga tidak melepasi kelayakan minima Legal Practice Qualification Board.

Jadi, adalah tidak mengejutkan jika lepasan ijazah seperti Zahra tidak dapat memaksimakan pengetahuan yang sedia ada untuk gaji bulanan yang lebih baik. Penulis juga ada terfikir jika pekerjaan semasa Zahra ada kaitan langsung dengan apa yang dipelajarinya ketika di Fakulti Undang-Undang untuk pendapatan yang lebih stabil.

Ini belum lagi mengambil kira perihal kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan lepasan graduan, ketidaktelusan kriteria pengambilan mahasiswa ke universiti tempatan (sama ada bangsa dan agama memainkan faktor utama), kekurangan pendedahan kepada industri, dan kongkongan terhadap kebebasan berakademik untuk para mahasiswa memelopori isu-isu semasa. Faktor-faktor ini membuatkan para mahasiswa berada di zon selesa sebelum mula menyedari betapa mencabarnya realiti hidup tanpa bertongkatkan initiatif pro-Bumiputera.

Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang

Penulis berpendapat bahawa perumpamaan ‘ukurlah baju di badan sendiri‘ adalah lebih bersesuaian untuk berdepan dengan cabaran ekonomi masa kini.

Tidak ada jalan mudah ke arah kesenangan hidup, walaupun ini bukan alasan untuk pihak kerajaan menutup sebelah mata dalam mencari jalan terbaik untuk golongan anak muda untuk tidak terus terbeban dengan hutang yang semakin menimbun.

Dari kaca mata seorang pelajar, pendidikan tinggi seharusnya dijadikan sebagai hak rakyat untuk menikmatinya secara percuma seperti di negara-negara Nordic dan Scandinavia.

Tetapi polisi ini harus diseimbangkan dengan prinsip meritokrasi yang adil dan telus agar kesaksamaan ini dapat dirasai setiap individu yang berusaha keras ke arah ‘need-based privilege‘ tersebut.

Kepimpinan universiti juga harus bebas daripada kekangan politik, malahan, hubungan antara universiti dan industri seharusnya ditekankan menerusi ‘strategic partnership‘ seperti yang kebiasaannya dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat agar kesannya dapat dirasai para mahasiswa yang dahagakan ilmu dan pendedahan praktikal.

Inilah tanggungjawab yang perlu dipikul kerajaan, dan sepatutnya perkara-perkara inilah yang perlu dibangkitkan Zahra ketika memberi ucapan kepada Timbalan Perdana Menteri, bukannya keluhan kekecewaan akan kerana kekurangan material.

Namun apa lagi yang kita boleh harapkan daripada produk kerapuhan institusi pendidikan tinggi yang sedemikian rupa? Ketaksuban kita dalam menipu diri sendiri menerusi ‘ranking improvement‘ adalah tidak kurang seperti ‘menang sorak kampung tergadai’; dan mangsanya adalah ketidakmatangan berfikir para mahasiswa lulusan tempatan.

Tapi apakan daya apabila ‘human capital development‘ dibiarkan terabai tanpa initiatif yang proactive, revolutionary, innovative & industry-based, walhal wang rakyat mengalir deras untuk memperkayakan golongan elit tertentu. Belanjakanlah berbillion setahun sekali pun. Anjakan pemikiran ini memerlukan gerakan yang lebih agresif dan tidak berpaksikan politik mahupun perkauman.

Adakah keluhan Zahra ini satu perkongsian yang menyentuh jiwa? Mungkin iya.

Tetapi adakah kita dapat merubah cara pemikiran lepasan ijazah dengan hanya berdolak-dalih di sebalik masalah yang lebih besar?

Sudah tentu tidak.

#SayaZahra bukanlah aspirasi yang perlu didukung golongan muda Malaysia, terutamanya buat Generasi Y Melayu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: