Roda Pusingan Pendidikan Tinggi

“Hooray! Hooray!”

Riang gamatnya pagi itu tatkala tersebarnya berita baik dari kota London. Ahmad, si pembawa berita, terkial-kial memaparkan tweetfeed—yang telah sejak tadi ditelaah beliau—kepada Pak Menteri.

“World Champions: Varsity Team from Malasia Defeated Oxford University to Win the Intellect Championship”


Pak Menteri tergagap-gagap membacakan paparan berita ringkas tersebut dalam bahasa Inggerisnya yang kurang fasih. Masih terlihat kepenatan pada air muka beliau setelah dua minggu menjelajah Amerika Syarikat untuk mempromosikan institusi pengajian tinggi Malasia sebagai antara yang terbaik di dunia, bersama dua puluh penasihat Kementerian Pendidikan yang lain.

“Hebat sekali pelajar-pelajar kita, Ahmad! Apatah lagi, pasukan Oxford dapat dikalahkan walau bertandang ke tempat lawan!”

Ahmad mengangguk kuat tanda setuju.

Pagi itu juga, akhbar Cina, Tamil, Melayu dan Inggeris; semuanya dikumpul bersama di muara pejabat Pak Menteri. Pak Menteri mahukan agar berita baik itu dapat menusuk  sanubari segenap ruang masyarakat.

Seperti biasa, pengarang akhbar-akhbar harian tidak lokek dalam menjaja kejayaan Pak Menteri kerana telah berjaya melahirkan para pelajar yang bertaraf dunia. Gembira sekali Pak Menteri dengan pujian melangit karangan rakan-rakan pengarang yang telah sekian lama dikenali beliau sejak pembabitan awal politik dalam Parti Dacing.


“Usaha Gigih Pak Menteri Julang Institusi Pengajian Tinggi Malasia di kota London!”

Kejayaan terbaru Pak Menteri ini dijadikan contoh bahawa asas pendidikan dan masa depan negara masih utuh hasil pimpinan kerajaan Parti Dacing!

Menurut Pak Menteri, beberapa kumpulan pelatih lagi akan dihantar ke seantero dunia untuk melatih daya pemikiran kritis demi mempertahankan kejuaraan Intellect Championship pada tahun-tahun akan datang.

Pengumuman ini dibuat tidak kurang sepurnama setelah Pak Menteri membuat keputusan untuk menamatkan 156 kontrak profesor di institut-institut pengajian tinggi awam Malasia, atas sebab kekurangan peruntukan. Rata-rata penasihat di pejabat Kementerian Pendidikan turut bersetuju bahawa tindakan Pak Menteri ini adalah tepat memandangkan kebanyakan profesor-profesor ini sudah terlalu tua dan lapuk untuk  terus mengajar.

Perkara ini juga tidak dipertikai oleh gagasan Majlis Profesor Malasia, sebuah badan ahli-ahli akademik yang dikepalai dan dinasihati oleh Pak Menteri sendiri.

“Ah, apa bezanya tanpa adanya profesor-profesor itu? Bukankah telah ramai pendidik-pendidik muda yang telah dilatih dan dididik sehingga ke menara gading? Lagipun, tenaga didik muda ini lebih mudah dikawal dan patuh kepada arahan. Rimas aku dek kelantangan profesor-profesor generasi lama yang tidak pernah usai!” keluh Pak Menteri kepada jemaah baru profesor-profesor muda yang baru sahaja dinaikkan pangkat.

Pak Menteri jelas kali masih terkesan dengan insiden yang melibatkan keluarga diraja Negeri Santubong.

Ada ura-ura mengatakan bahawa kelantangan Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Profesor Aziz, dalam mempersoalkan campur tangan Sultan dalam isu pemilihan Ketua Menteri Negeri Santubong telah membawa rasa malu dan murka kepada Sultan Negeri Santubong itu sendiri!

Akan tetapi, pendapat yang disuarakan Profesor Aziz memang ada benarnya. Negara ini perlu diurus berlandaskan Perlembagaan, dan tiada siapa yang lebih atau kurang di sisi undang-undang—biarpun jika dia seorang Sultan sekalipun!

“Mereka tidak tahu erti bersyukur, Pak Menteri. Sudah diberi betis mahukan peha pula!” tambah seorang profesor muda yang kebetulan merupakan Penasihat Polisi Awam kepada Parti Dacing.

Profesor muda tersebut adalah antara ahli akademik yang bertanggungjawab menulis Tatatacara Keperibadian dan Perilaku Pelajar-Pelajar Pengajian Tinggi untuk mengekang ‘gejala revolusi pelajar’ yang semakin meluas penerimaannya sejak akhir-akhir ini.

Semenjak Tatacara tersebut diluluskan Pak Menteri, pelbagai macam tindakan undang-undang dan disiplin telah diambil terhadap para pelajar yang rata-ratanya hanya mahu mengeluarkan pendapat. Ada yang telah digantung kelas, dibuang kampus, ditamatkan pengajian—hanya kerana mereka berani mempersoalkan tindak-tanduk cara tadbir negara di bawah kepimpinan Parti Dacing.

Kekangan terhadap kebebasan bersuara dan berakademik sudah menjadi lumrah di institut-institut pengajian tinggi, baik ke atas pelajar-pelajar, mahupun tenaga pengajar mereka sendiri.

Mereka amat takut kalau-kalau periuk nasi mereka ditutup terus oleh profesor-profesor muda yang sudah termakan dedak-dedak pemikiran Pak Menteri. Apakan tidak, kebanyakan daripada profesor-profesor muda ini telah dilantik sebagai Dekan di institusi pengajian tinggi masing-masing oleh Pak Menteri sendiri.

Begitu juga dengan anak-anak muda yang kini amat bergantung kepada segulung kertas yang dinamakan ‘ijazah’.

“Siapa yang akan menanggung kehidupan masa depan kami tanpa adanya kelulusan segulung ijazah?” laung kebanyakan mereka.

Bagi mereka, ‘revolusi pelajar’ ini tidak akan dapat membantu memberi sesuap nasi sementelah dibuang kampus. Mereka berpendapat bahawa tugas pelajar hanyalah untuk mengecapi kejayaan di menara gading dan kemudiannya mendapat pekerjaan yang selesa di pejabat-pejabat berhawa dingin.

Benar, negara kita masih aman dan cukup mampu untuk melahirkan akauntan, peguam, doktor dan cerdik-pandai biarpun ruang berhujah itu disempitkan sedemikian rupa.

Pak Menteri sendiri merupakan graduan kelas pertama dalam bidang Sains Sosial serta pemegang Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari negara Barat. Kata Pak Menteri, kecemerlangan akademik itu tidak perlu selari dengan kebebasan untuk berintelek secara terbuka—selagi mana mereka masih bebas untuk menuntut ilmu.

Tiada apa yang perlu dihairankan apabila harga sebuah perjuangan itu disamakan dengan penghadaman minda yang sedemikian rupa.

***

Setibanya pasukan Juara Dunia di tanah air, sekali lagi mereka diraikan oleh Pak Menteri dan pemimpin-pemimpin Parti Dacing yang lain di kediaman Perdana Menteri. Kali ini, Perdana Menteri sendiri mahukan lebih banyak pertandingan-pertandingan yang melibatkan pemikiran kritis di institusi-institusi pengajian tinggi, agar lebih ramai juara  Intellect Championship dapat dilahirkan!

“Mengapa tidak kalian bimbing anak-anak muda lain untuk mengharumkan nama negara? Negara kita memerlukan lebih ramai pemuda-pemudi yang mampu berfikir dan berhujah secara kritis berkenaan perihal dunia. Lihatlah, pelajar-pelajar kita hanya tahu berpolitik dan berlawan arus dengan pihak kerajaan!” ujar Perdana Menteri.

“Iya, bercakap lebih mudah daripada berada di posisi kami!” tambah si profesor muda, merangkap Dekan kepada institusi pengajian tinggi jagoan-jagoan dunia yang masih kepenatan daripada penerbangan jauh itu.

Jagoan-jagoan terkelu lidah daripada berkata-kata di sepanjang majlis keraian itu. Tidak mudah untuk anak-anak muda seperti mereka untuk bertentang kata dengan pemimpin-pemimpin negara, lebih-lebih lagi di kediaman rasmi Perdana Menteri itu sendiri.

Mereka tahu apa akibatnya jika kejayaan ini dicacatkan oleh pembawakan yang bertentang arus! Masih segar di ingatan mereka apabila pelopor utama Intellect Championship telah digam dan diugut untuk dibuang kampus tatkala beliau mula mengikuti ‘revolusi pelajar’ tidak lama dahulu.

Namun begitukali ini mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Masing-masing telahpun mengira hari untuk menjadi peguam, doktor dan akauntan bertauliah sehabisnya pengajian mereka di institusi pengajian tinggi!

Situasi ini bukan semudah pertandingan kalah-menang, tetapi seakan satu paradoks yang dieksploitasi politikus-politikus selagi adanya ruang untuk mengawal pemikiran anak-anak muda—seperti satu persembahan opera ulung untuk tontonan umum.

Tiada yang lebih gembira daripada Pak Menteri kerana sudah tentunya kejayaan persembahan ini telah meletakkan beliau di posisi yang cukup baik menjelang pemilihan calon-calon pilihanraya Parti Dacing oleh Perdana Menteri!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: