Di Sebalik Usul Pindaan RUU 355

Suara ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang, serak-serak seakan sebak ketika membacakan usul untuk membuat pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) ketika sesi Dewan Parlimen pada 24 November yang lepas. Hadi Awang mengusulkan untuk undang-undang yang sedia ada dinaiktaraf siling hukumannya kepada penjara maksima 30 tahun, denda tidak melebihi RM 100,000 dan rotan tidak melebihi 100 kali sebatan.

Undang-undang yang sedia ada sebelumnya mendapat undi majoriti Dewan Parlimen pada tahun 1984; 33 tahun yang lalu.

Bagi pucuk pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) khususnya, hukuman yang sedia ada (penjara maksima 3 tahun, denda tidak melebihi RM 5,000 dan sebatan tidak melebihi 6 kali) dikatakan tidak cukup tegas untuk menjaga kemaslahatan syariat umat Islam di Malaysia. Hukuman ini walau bagaimanapun hanya terpakai kepada orang Islam yang melanggar undang-undang berkaitan Senarai II, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan.

Sebak suara Hadi Awang itu bukan sebarang sebak jika diambil kira konteks politik yang membawa kepada pembawaan Usul Persendirian (Private Member’s Bill) itu ke Dewan Parlimen. Agenda ini telah lama didukungi PAS sejak dua dekad lamanya dan Hadi Awang sendiri berkemungkinan tidak menyangka bahawa masa dan peluang kini semakin berpihak kepadanya.

Usul ini pada awalnya terpapar buat pertama kali pada 7 April 2015 dalam Parliament’s Order Paper sementelah bergolaknya hubungan antara PAS dan bekas sekutunya dalam Pakatan Harapan. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Undang-Undang, Nancy Shukri, ada menyebut bahawa usul ini hanya akan dibincangkan apabila tiba waktu gilirannya.

screen-shot-2017-03-05-at-7-18-01-am

Siapa sangka tugas Nancy Shukri kemudiannya diamanahkan kepada politikus maverick yang juga merupakan seorang bekas peguam di sebuah firma besar di Kuala Lumpur, Azalina Othman Said. Sebagai Menteri, Azalina telah mengusulkan agar usul Hadi Awang dilompatkan kepada agenda utama sesi Dewan Parlimen daripada aturan ke-15 yang asalnya. Azalina dikatakan hanya menurut perintah daripada ‘bos’ beliau yakni Perdana Menteri, Najib Razak, dan Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik, Dr. Zahid Hamidi.

Mungkin juga Hadi Awang berasa sebak kerana usul yang dibawakan beliau bukanlah seperti yang pada mulanya dipersetujui bersama ulama-ulama dan politikus-politikus PAS.

Hanya beberapa hari sebelum Hadi Awang berucap pada 24 November 2016, ramai yang masih berteka-teki akan kandungan rasmi usul tersebut. Desas-desus politik bertiup kencang mengatakan bahawa satu kata sepakat telah dipersetujui antara pihak PAS dan UMNO untuk membolehkan usul Hadi Awang ini mencapai kata putus sekurang-kurangnya dari segi prosedur undang-undang Dewan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan.

Hasilnya, hasrat Hadi Awang untuk mengusulkan undang-undang Hudud terhenti dan diubah kepada usul untuk meminda RUU 355 menerusi Usul Persendirian, iaitu satu aturan prosedural yang membolehkan ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan Menteri untuk mengusulkan pemindaan atau pembaharuan kepada undang-undang yang sedia ada.

Konteks Hudud Asal PAS

Polemik Hudud ini bermula sejak awal tahun 90-an apabila pimpinan PAS di Kelantan meluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993 yang membolehkan kesalahan ‘hadd’ seperti yang disebut di dalam al-Quran dihukum mengikut interpretasi tertentu, misalannya seperti hukuman rejam sampai mati bagi penzina. Enakmen ini kemudiannya ‘diringankan’ pada tahun 2015.

Antara jenis-jenis jenayah Hudud yang didefinasikan dalam Seksyen 5 Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (1993) 2015 adalah sariqah (mencuri), hirabah (rompakan), zina (hubungan seks di luar mahram), liwat, qazaf (menuduh orang berzina), syurb (minum arak), dan irtidad/riddah (keluar dari agama Islam).

Memandangkan jenayah-jenayah seperti mencuri, merompak, rogol dan meliwat merupakan perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan (menurut Senarai I, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan), Enakmen ini secara tidak langsung melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Permasalahan itu merupakan perkara pokok kepada polemik yang sedia ada kerana perkara-perkara Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda tanpa sokongan 2/3 daripada ahli-ahli Dewan Parlimen yang sedia ada. PAS memerlukan 148 ahli-ahli Parlimen untuk membolehkan undang-undang Hudud dilaksanakan, walhal jumlah ahli-ahli Parlimen Islam yang ada hanyalah seramai 135 orang.

Biarpun masalah ini dapat diatasi, masih terdapat banyak perdebatan yang perlu diusai seperti prinsip ‘double jeopardy’, kesamarataan hak dan hukuman jenayah, diskriminasi mengikut latar belakang, kebebasan dalam beragama, dan juga prinsip ‘supremacy of Constitution’ itu sendiri yang telah menjadi tunjang kepada kewujudan negara ini.

4c

Dr. Yusuf Al-Qaradawi; Pengerusi kepada International Union of Muslim Scholars

Dari segi jurisprudens undang-undang Islam, terdapat juga perbahasan bahawa undang-undang Hudud ini tidak sepatutnya dijadikan keutamaan dalam mencegah jenayah dan kemungkaran sahsiah. Ramai yang berpendapat — sama ada secara akademik ataupun peribadi — bahawa nilai taubat dan kemaafan lebih utama untuk diterapkan. Pelaksanaan undang-undang Hudud itu juga, seperti yang dihuraikan ulama sohor pegangan Sunni, Dr. Yusuf Qaradawi, perlu mengambil kira faktor-faktor jurang ekonomi dan kesaksamaan nilai-nilai Islam itu sendiri, seperti keadilan sejagat dan ketelusan pemerintahan.

Kesungguhan kepimpinan PAS untuk terus menerus memperjuangkan aturcara legislatif ini juga secara tidak langsung menyanggah pendapat-pendapat yang bertentang arus berkenaan pengertian sebuah ‘negara Islam’ itu sendiri.

Apakah pembawakan suatu karakter Islam itu hanya bergantung kepada sebuah rangka undang-undang?

Bagaimanapula dengan identiti masyarakat Islam di luar negara yang mampu hidup berlandaskan nilai-nilai Islam tanpa diikat oleh rasa takut kepada undang-undang tetapi kepada yang Maha Esa?

Adakah penegasan sahsiah seorang Muslim itu hanya perlu dilihat dari segi tujuh hukuman Hadd seperti yang digariskan kepimpinan PAS?

Semua ini perlu dilihat secara mendalam dan inklusif sebelum rangka Perlembagaan yang sedia ada itu diubah untuk menyesuaikan perspektif religio-politic PAS.

Pindaan RUU 355 Sebagai Jalan Belakang Untuk Menguatkuasakan Hudud

nik

Nik Abduh berlatarbelakangkan pendidikan agama dari Darul Uloom, Deoband & Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Politikus PAS merangkap ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz, telah menyebut dalam hujahnya dalam sebuah kolum di akhbar Harakah bahawa pindaan RUU 355 ini adalah merupakan satu strategi untuk memperkenalkan undang-undang yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dalam sistem perundangan ‘peninggalan kolonial’ yang sedia ada.

Mungkin perkara ini sudahpun diketahui pucuk pimpinan PAS bahawa pindaan ini kesannya meluas dan bakal membolehkan bukan sahaja negeri Kelantan untuk menguatkuasakan sebahagian daripada jenayah Hudud seperti yang didefinasikan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (1993) 2015, tetapi juga di negeri-negeri lain sekiranya diluluskan di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Adalah penting untuk difahami bahawa pindaan ini melibatkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965; yang merupakan undang-undang termaktub di bawah kuasa kerajaan Pusat. 

Hadi Awang hanya memerlukan ‘simple majority’ daripada ahli-ahli Parlimen yang hadir pada sidang perbahasan yang akan datang ini. Berdasarkan sokongan UMNO yang sedia ada (UMNO mempunyai 88 undi di Dewan Parlimen), 21 undi dari PAS dan beberapa sahaja lagi undi dari PKR dan parti-parti lain, usul RUU 355 ini akan besar kemungkinan berjaya diluluskan secara prosedural di Dewan Parlimen.

Sekiranya usul ini berjaya mendapat sokongan yang mencukupi, kerajaan negeri Kelantan akan berkemungkinan menguatkuasakan empat daripada tujuh undang-undang Hudud yang sedia ada, iaitu qazaf (sebat tidak melebihi 80 kali), al-lian (sebat sebanyak 80 kali bagi suami), syurb (sebat tidak melebihi 80 kali dan tidak kurang daripada 40 kali), dan Irtidad/Riddah (hukuman penjara seperti yang boleh ditentukan Mahkamah Syariah).

Walau bagaimanapun bagi kesalahan qazaf dan al-lian, kedua-dua kesalahan ini dapat disamakan dengan kesalahan fitnah/libel berdasarkan Kanun Keseksaan 1965 dan Akta Fitnah 1957 dan boleh dicabar sebagai bertentangan dengan Senarai I, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan di bawah sistem kehakiman sivil.

main_1608_zhtranslaw_zh_5

Emiritus Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi merupakan Pemegang Kerusi Tunku Abdul Rahman & Profesor Undang-Undang di Universiti Malaya.

Pindaan ini bukan sekadar meninggikan kadar penghukuman, tetapi juga berpotensi untuk diluaskan skop tadbir urus kehakiman syariah jauh melangkaui hasrat asal PAS untuk menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (1993) 2015 di Kelantan.

Pakar Perundangan Perlembagaan, Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi, ada menyuarakan kerisauan beliau memandangkan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa yang luas bagi kesalahan-kesalahan yang bertentangan dengan ‘syariat’ Islam (precepts of Islam). Permasalahan akan timbul dikemudian hari kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh ‘syariat’ Islam tersebut, dan panduan yang ada hanyalah satu opinio juris daripada Tun Abdul Hamid Mohammed dalam kes Sulaiman Takrib di Mahkamah Persekutuan.

Ketidaktentuan skop bidang kuasa ini berkemungkinan disalah guna oleh kedua-dua kerajaan Pusat dan kerajaan negeri menerusi badan-badan agama.

Perkara ini amat dikhuatiri kerana ruang kuasa yang diberi boleh dimanipulasi untuk menonjolkan identiti Islam seperti yang ditakrifkan oleh mereka mempunyai pegangan kuasa di badan-badan agama, terutamanya bagi JAKIM yang dikawal selia oleh Jabatan Perdana Menteri.

Bagi sebuah agama yang begitu meluas dan mendalam kefahamannya, pindaan ini akan menghalalkan penyempitan pemahaman Islam itu sendiri bagi mereka yang beragama Islam di Malaysia.

Akan terjadinya situasi di mana pengertian agama yang syumul sifatnya itu ditakrifkan oleh peguam-peguam dan hakim-hakim di mahkamah, dan bukannya menerusi penilitian halus secara berilmiah dan bertoleransi.

Apakah Pilihan Yang Ada Di Tangan Rakyat Malaysia?

Tidak banyak pilihan yang ada bagi rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan usul pindaan Hadi Awang. Sistem demokrasi yang sedia ada tidak menjamin bahawa suara rakyat itu akan dibawa sebagai undi mereka di Dewan Rakyat. Besar kemungkinan bahawa ahli-ahli Parlimen di Dewan Parlimen akan mengundi sama ada mengikut politik berpartisan, ataupun kepercayaan dan pandangan peribadi masing-masing.

Sebagai contohnya, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional pada tahun 2015 sebulat suara meluluskan usul untuk melaksanakan Government and Services Tax (GST) menerusi Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 tanpa melakukan kaji selidik di kerusi Parlimen masing-masing.

Begitu juga dengan ahli-ahli Parlimen yang sudah membuat keputusan untuk membantah usul yang dibawa Hadi Awang hanya kerana ini adalah prinsip yang dibawa oleh parti-parti mereka, seperti parti Democratic Action Party (DAP).

Sudahkah ahli-ahli Parlimen seperti Lim Kit Siang, yang merupakan ahli Parlimen bagi kerusi Batu Pahat, bertanyakan pengundi-pengundi di Batu Pahat sama ada mereka mahukan pindaan RUU 355 ini diluluskan atau tidak?

Mengapa perlu Lim Kit Siang mengundi atas tiket DAP, dan bukan sebagai ahli Parlimen bagi suara majoriti pengundi di Batu Pahat?

Perkara ini penting kerana usul ini bakal melibatkan lebih separuh daripada populasi di Malaysia — iaitu lebih daripada 14 juta orang. Jumlah populasi ini sudah tentu perlukan justifikasi mengapa perlu hukuman yang begitu subjektif ertinya, seperti irtidah/riddah, dan juga perkara yang berdosa dari segi agama tetapi tidak dari segi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang Malaysia, seperti berzina, dihukum seberat RM 100,000 dan 30 tahun penjara?

Soalan-soalan seperti ini perlu ditujukan kepada setiap rakyat Malaysia dan bukan sahaja kepada penganut agama Islam kerana ini adalah persoalan yang melibatkan prinsip dan nilai-nilai kewarganegaraan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Oleh itu, penulis berpendapat bahawa ahli-ahli Parlimen di Dewan Parlimen tidak boleh dipercayai untuk mendukung aspirasi masa depan rakyat Malaysia dan pilihan ini harus dibuat secara kolektif  oleh rakyat Malaysia sendiri selepas dijelaskan secara seimbang dari segi undang-undang, rasional dan jurisprudens di sebaliknya.

malaysia-conference-of-rulers-council-of-rulers-1mdb1

Raja-raja Melayu perlu bersuara dengan lebih jelas sebagai ketua agama Islam bagi negeri masing-masing

Walaupun cara ini tidak pernah terbukti keberkesanannya, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia mendesak menerusi satu referendum kepada raja-raja Melayu sebagai penaung dan ketua agama Islam di negeri-negeri yang ada untuk mencari jalan tengah antara Islamisasi dan prinsip-prinsip Perlembagaan itu sendiri sebelum perkara ini boleh dibawa ke Dewan Parlimen untuk didebatkan dan diundi sebagai undang-undang baharu.

*Pandangan penulis adalah berdasarkan perspektif sebagai seorang peguam bertauliah Mahkamah Tinggi Malaya.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: